Kari Ayam Kampung Dan Nilai Integriti



Sebelum kita citer bab resepi, meh kita borak borak dulu. Sehari dua ini saya sangat sedih bile mendapati pen kesayangan saya yang telah dijaga dengan baik berbelas tahun akhirnya hilang. Saya tidak ada bukti untuk menuduh, tapi saya masih ingat dengan jelas kali terakhir saya menggunakannya. 

Lebih sedih bila ianya hilang di rumah sendiri. Terutama bila saya menpunyai tetamu yang datang untuk urusan kerja, untuk repair atau untuk mencuci rumah. Subang berlian saya hilang, duit koleksi wang kertas lama hilang, rantai tangan berlian Juita hilang dan yang terbaru pen saya. 

Kejujuran adalah sesuatu yang tidak boleh ada tolak ansurnya. Mungkin manusia tidak dapat melihat tapi Allah memerhatikannya. Bayangkan bagaimana untuk kita meminta maaf dengan orang yang barangnya kita curi. Pen adalah pen yang kegunaannya untuk menulis. Kalau tak mampu memiliki pen yang mahal, guna sahaja pen biasa asal dapat menulis. 

Jadi kenapa nak guna pen mahal sehingga sanggup mengambil hak orang lain. Sekadar nak show off kita menpunyai pen mahal? Serius saya sungguh sedih dan semoga Allah menggantikannya buat saya dengan yang lebih baik. Kita kena ajar value ini pada anak anak, supaya nilai nilai murni ini ada pada diri anak kita yang satu hari akan menjadi ibubapa. Insya Allah. OK sekarang masuk bab ayam pula.

Kalau masa kecil dulu, ayam kampung jer yang dapat makan sebab ayam kampung dibela sendiri. Diberi makan hampas kelapa atau nasi lebihan. Bila dapat makan ayam daging, punya seronok sebab baru terasa banyak daging dan lembut dagingnya. Bukan macam daging ayam yang pejal dan kena gigit dengan gigi. 

Tapi kini setelah setiap hari disaji dengan ayam bandar aka ayam daging, terasa pula ayam kampung lebih sedap terutama ayam kampung yang memang dibela lepas bebas. Harganya boleh tahan mahal berbanding dengan ayam daging. 


Hahaha dunia memang boleh jadi terbalik. Sama juga dengan rumah. Saya memang dibesarkan di rumah papan sebuah, tak tahu pula yang rumah sebuah tu dipanggil rumah banglo. Kampung kami memang semua orang tinggal di rumah sebuah, tak ada pun rumah teres. 

Masa tu, bila tengok ada orang kampung yang bina rumah batu, terasa bestnya mesti kaya ni. Tapi sekarang baru tahu yang kos rumah kayu lagi mahal terutama jika ianya dibuat menggunakan kayu cengal. Begitu lah adatnya, hidup kita berubah, dari susah jadi senang. Citarasa juga berubah. 

Berbalik pada ayam kampung ini, saya memang suka memasak kari sahaja kerana isinya tak lah banyak, jadi bolehlah diceduk kuahnya untuk digaul dengan nasi. Lagi pulak, memasaknya agak lama kerana isinya lebih pejal. Saya masak dalam periuk tekanan selama 20 minit. 

Selain kari, ayam kampung seperti ini juga sedap dimasak rendang kot kerana isinya tidak mudah hancur walaupun dimasak rendang lama lama sehingga kering kuahnya. 

Jom layan resepi yang saya gunakan di bawah ini. Selamat mencuba...



Kari Ayam Kampung
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
1 ekor ayam kampung
½ kg santan segar
Kayu manis, bunga lawang, buah pelaga
3 sudu besar rempah kari ayam
Sedikit serbuk cili - opsyenal
1 sudu besar kerisik
Pes asam jawa/2 keping asam keping
½ sudu  besar garam kasar
Gula/gula Melaka - jika suka
Serbuk perasa - jika suka
Minyak masak

Bahan hiris:
5 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
½ inci halia

Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis kayu manis, bunga lawang dan buah pelaga. Masukkan bahan hiris dan tumis sehingga naik bau dan sedikit keperangan,

Masukkan rempah kari (kering) dan sedikit serbuk cili. Kacau rata. Setelah naik bau, masukkan air untuk masakkan rempah. Bila terbit minyak, masukkan sedikit air dan biarkan lagi sehingga terbit minyak. Boleh ulang ulang bagi memastikan rempah cukup garing. 

Masukkan ayam kampung dan kacau rata. Biarkan sehingga ayam kecut dan air kering, baru dimasukkan sedikit santan cair bagi memastikan ayam empuk terlebih dahulu. Saya masukkan dalam periuk tekanan selama 20 minit.


Setelah ayam empuk, masukkan santan pekat dan kacau lagi sehingga mendidih. Kemudian masukkan kerisik, garam dan gula secukup rasa. Sesuaikan rasa dan bolehlah ditutup api.


LihatTutupKomentar