Malam ini kita telah masuk malam 10 akhir Ramadhan di mana satu malam darinya adalah malam Lailatul Qadr. Walaupun ianya dikatakan akan berlaku pada malam ganjil tapi kita jangan mengambil risiko. Buat jer segala amalan dan tambahkan sedekah di tiap tiap malam 10 akhir Ramadhan ini.
Kebiasaan yang saya lakukan ialah saya akan membaca surah surah pilihan kerana jika ianya berkebetulan dengan malam lailatul qadr, seolah kita membacanya selama 84 tahun. Saya juga akan memberikan infaq dan wakaf selepas balik dari melakukan solat terawih. Yang lain lain, mungkin sama sahaja dengan orang lain.
Apa apa pun jika kita melakukan apa sahaja amalan pada malam tersebut seperti solat terawih dan solat Isyak berjemaah, Insya Allah kita telah pun mendapat pahala lebih dari 1000 bulan (84 tahun tersebut). Inilah nikmat terbesar dianugerahkan Allah kepada umat Nabi Muhammad SWA yang umurnya pendek sahaja bagi menambahkan amalan di akhirat nanti. Tidak seperti umat terdahulu yang mana umur mereka sehingga beribu tahun yang pastinya amalan juga lebih banyak.
Yang penting, buat sahaja. Jangan banyak berkira pasal pahala. Kita rebut apa yang Allah tawarkan. Jangan pula malam malam akhir ni, sibuk nak pergi majlis berbuka puasa dsb. Rugi sangat rugi. Ramadhan bulan pesta ibadah, bukan pesta masak memasak dan makan makan. Cukup setakat ini dahulu.
Ketupat sotong adalah selamanya makanan kegemaran saya. Kira makanan mewah untuk anak kampung macam saya. Dulu kalau makan ketupat ni, paling banyak pun 2-3 ekor sahaja seorang. Pernah kena marah kerana dikatakan saya makan telur sotong sahaja, tak makan pulut. Sampai sekarang saya ingat peristiwa itu.
Hari ini saya makan puas puas kerana saya beli 1 ½ kilo sotong dan semuanya sekali dibuat ketupat. Masa berbuka hanya saya Juita dan Aween sahaja. Jadi 3 ekor sekali saya makan. Selepas tu baru makan nasi.
Saya berpesan dengan peniaga ikan yang saya mahu hanya sotong yang bertelur sahaja. Jadi dipilih setiap satu bagi memastikan semuanya ada telur.
Sebelum ada yang komen, biar saya jelaskan yang saya memang tak suka buang kulit sotong. Saya memang dari kecil makan sotong macam ni. Lagi menyelerakan pada pandangan saya. Pilihan masing masing kan. Jika suka, boleh jer buang selaput kulit sotong.
Ketupat sotong yang cantik kejadiannya akan jadi bulat bulat montok macam yang saya sediakan hari ini. Kira menjadi dengan elok sekali. Alhamdulillah.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba....
Ketupat Sotong Kelantan
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
1 ½ kg sotong - 17 ekor
600-650 ml santan segar
½ sudu kecil garam
1 ½ keping gula Melaka - 140-150 gram
½ sudu besar gula pasir
2 helai daun pandan - simpul
1 cawan beras pulut
Cara cara:
Rendam beras pulut selama 1-2 jam supaya cepat masak dan empuk. Tos.
Bersihkan sotong dengan cabut kepala dan buang bahagian dakwat. Bersihkan dan tos.
Masukkan sedikit santan dan garam ke dalam beras pulut. Masukkan pulut ke dalam sotong agak agak separuh penuh. Masukkan semula kepala sotong. Tekan kepala ke dalam badan sotong dan dicucuk kemas dengan 2 lidi.
Susun sotong di dalam periuk dan masukkan daun pandan, santan dan garam. Santan agak agak tenggelam sotong kerana semasa direbus saiz sotong akan jadi kecil.
Masak sehingga pulut masak. Boleh cungkil sedikit pulut dari sotong untuk tengok kalau pulut telah masak.
Setelah pulut masak, masukkan gula Melaka dan gula. Masak lagi sehingga kuah terbit minyak. Tutup api.
Nota:
Saya masak dalam 17 minit, saya masukkan gula Melaka dan masak lagi sehingga 20-25 minit bergantung kepada pulut. Jangan terlalu lama kerana sotong akan liat.