Hari ini adalah hari pertama pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di seluruh Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan hari kedua di Sabah. Hubby keluar mencari sarapan nasi lemak bungkus daun pisang untuk sarapan. Nelly pula work from home. Kata Hubby, orang tak ramai di gerai nasi lemak. Mungkin ramai yang balik kampung. Apa apa pun selamat menjalani PKPB buat semua yang terlibat.
Kuih kalakatar atau Bingka Kelapa Muda adalah kuih tradisional masyarakat Banjar. Saya pertama kali mendengarnya ketika menonton rancangan Majalah Tiga malam tadi. Itu pun saya tak dengar betul betul kerana tengah update blog. Saya bertanyakan Juita yang kemudian memberikan nama kuih tersebut.
Apa yang saya baca nama kalakatar bermaksud kala ialah 'ketika’ dan katar adalah ‘panas’. Jadi sepatutnya dimakan ketika masih lembik lembik dan panas panas. Tapi apa pun terpulang lah pada masing masing. Kalau kuih bingka lain, bila sejuk baru cantik potongannya. Kuih ini sepatutnya lembut dan menggeletar apabila diangkat. Dari situlah namanya kuih ini kalakatar. Bunyi macam mana gunung pulak.
Menyediakan pun sangat mudah. Campak jer semua dalam bekas dan kacau rata. Tapis supaya tepung tidak berketul. Kemudian kacau sehingga sedikit pekat. Akhir sekali tabur isi kelapa muda yang kalau boleh guna isi yang lembut dan berlendir lendir tu, lagi sedap.
Kuih kalakatar saya hari ini sangat sedap walaupun agak lembik dan tidak cantik dipotong walaupun setelah disimpan dalam peti ais semalaman. Makan denga sudu sahaja. Jadi lain kali saya ingin buat sedikit pengubahsuaian pada resepi ini.
Jom layan resepi dan cara penyediaannya yang sangat mudah dan cepat disediakan. Selamat mencuba...
Kuih Kalakatar
Oleh: Azie Kitchen
Bahan-bahan:
1 ½ cawan tepung beras
½ cawan tepung gandum
1 cawan gula pasir
2 biji telur
5 ½ cawan air kelapa muda
2 cawan isi kelapa muda - hiris nipis
½ sudu kecil garam
Cara cara:
Satukan semua bahan kecuali isi kelapa muda. Kacau rata dan tapis untuk pastikan tiada tepung yang berketul.
Masak atas api sederhana dengan sentiasa dikacau sekadar keluar wap.
Tuang adunan ke dalam loyang saiz 10"x10" yang telah dilenser dengan minyak. Tabur isi kelapa muda yang dihiris nipis.
Bakar pada suhu 200C selama 90 minit. Bakar sehingga kuih kelihatan keperangan di permukaan atas. Nota: saya tambah lagi 15 minit.
Nota:
Jika suka kuih yang keras dan boleh dipotong, guna 5 cawan.
Jika adunan lembik, masukkan dalam peti ais dahulu sebelum dipotong. Boleh sediakan petang atau malam untuk dihidangkan dimakan sebelah pagi.
Saya guna 2 biji kelapa muda.
Masa depan, saya ingin guna sukatan air kelapa hanya 4½ -5 cawan sahaja. Manakala gula dikurangkan ke ¾ cawan.