Lala Masak Masam Manis



Hidup di dunia akan menjadi indah jika kita saling menghormati dan saling membantu. Jika kita yakin rezeki setiap kita telah ditetapkan kita tidak perlu bimbang. Jika kita melihat orang memakai berlian 3-4 karat sekali pun, kita tidak akan rasa apa apa kerana kita tiada keinginan sekali pun. Kita hidup dalam kemampuan sendiri. Insya Allah hati menjadi tenang.

Namun sebagai manusia, kita sentiasa dihasut oleh iblis dan syaitan yang sentiasa membisikkan dan menghasut ke arah perkara perkara yang tidak disukai agama. Mengajak untuk tidak membantu orang lain, mengajak untuk hasad dengki, berlumba lumba dan menjatuhkan satu sama lain.

Akan tiba satu masa di mana kita tidak lagi memikirkan untuk membeli handbag yang mahal, makan makanan sedap dan di restoran mahal. Makan pun sekali sahaja sehari. Akan tiba masa kita memikirkan rumah apa yang telah kita bina untuk kehidupan di akhirat. 

Jadi mulalah menyimpan dan membina rumah sendiri, bukan menyimpan dan menjaga harta orang lain. Itulah pesanan ustaz ustaz dalam ceramah di youtube. Apa yang dimiliki sekarang akan menjadi milik orang lain sebaik kita tiada. Sedangkan apa yang kita belanja ke jalan Allah akan menjadi kita. Kita pasti akan bertemu dengannya di akhirat.  


Alhamdulillah lala yang masak hari ini sangat segar. Ianya adalah pemberian dari Instagram @seafoodrunner. Orang memberi kita merasa. Jadi kita bantu promosi mereka pula. Pertamanya kerana servis sangat bagus dan barangan yagn dibekal sangat segar. 

Lala adalah antara makanan laut kegemaran anak anak saya. Lala juga sedap dimasak sambal serai. Insya Allah saya akan kongsikan resepinya di entri entri akan datang. 

Jom layan resepi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa untuk menonton video penyediaannya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba... 



Lala Masak Masam Manis
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
1 kg lala
2 batang serai - ketuk
½ sudu besar cili kering kisar
5 sudu besar sos cili
2 sudu besar sos tomato
½ sudu kecil garam kasar 
1 sudu kecil gula
½ cawan minyak

Bahan tumbuk:
1 biji bawang besar
5 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci halia

Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis bahan kisar dan serai sehingga terbit minyak. Masukkan sos tomato dan sos cili. Kacau rata. Masukkan sedikit air dan masak sehingga mendidih. 


Masukkan garam dan gula. Masukkan lala. Kacau rata sehingga lala masak. 


Jika kering, boleh tambah sedikit air. Tabur daun bawang dan cili merah. 


Nota:
Jika suka, boleh tuang 2 biji telur yang dikacau rata. Bolehlah tutup api.


LihatTutupKomentar