Mee Hoon Putih Dengan Sambal Kicap


Sebelum kita terus dengan coretan hari ini, jangna lupa klik iklan yang keluar di blog saya. Alhamdulillah hari sabtu yang lalu iaitu 28 November adalah hari ulang tahun perkahwinan saya yang ke33. Di musim PKPB ini, kami hanya bermalam di Park Royal Serviced Suites di Jalan Nagasari Kuala Lumpur sahaja. 

Yang penting anak anak dan cucu ada bersama di tempat yang kita boleh berehat. Sebelah petang kami mengambil grab untuk keluar makan ke Pavillion. Orang ramai, macam biasa cuma dalam kebiasaan baru ini semua orang memakai pelitup muka dan scan di setiap outlet yang singgah.

Saya yakin, tiada perkahwinan yang sempurna cuma kita perlu saling cuba melengkapi kekurangan masing masing. Seperti kami, saya sangat teliti dan sangat detail. Saya memang agak "perfectionist" berbanding dengan Hubby yang lebih relax dan berlebih kurang. Saya mahukan sesuatu mengikut apa yang saya mahu kecuali ada yang boleh memberi asas kenapa ianya tidak seharusnya dibuat begitu dan begini.

Sebenarnya sikap macam saya agak menjadikan hidup susah. Saya kadang kadang susah hendak percaya pada orang lain terutama kalau saya melihat komitment tidak seperti yang diharapkan. 

Tidak ramai yang amanah dalam menjalankan tugas. Maaf walaupun bukan semua tapi ramai yang macam ini. Lebih lebih lagi mereka yang membuat kerja secara part time. Tidak berlaku adil dalam menyiapkan tugasan. 

Kalau kita amanah, Insya Allah kita pasti akan menjalankan tugas yang diberi dengan baik walau dengan apa cara sekali pun. Hatta kalau tak tidur sekali pun. Namun berapa ramai yang memikirkan hal ini.  


Masuk bab resepi, tiba tiba terasa ingin makan mee hoon putih yang digoreng agak kosong. Hanya menggunakan perencah yang biasa seperti bawang putih, kiub pati ayam, garam dan kicap cair sahaja. 

Semasa dihidangkan, gandingkan dengan kicap yang dipotong cili padi. Sekali sekala sangat sedap jika menukar citarasa. Mee hoon seperti ini tidak rasa muak.

Jom layan resepi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa video dan penyediaannya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba....


Mee Hoon Putih

Bahan bahan:
350 gram mee hoon vermicelli - rendam selama 1-2 minit sahaja
6 sudu besar minyak masak
4 ulas bawang putih - cincang 
1 batang karot - potong panjang
2 ikat bok choy
1 mangkuk kubis - racik 
1 ½ ketul kiub pati ayam - dengan 1 cawan air
1 mangkuk fish ball
1 mangkuk fish cake
3 biji telur - kocak dengan garpu
2 sudu kecil kicap cair 
Serbuk lada sulah
Garam

Cara cara:
Tabur sedikit serbuk lada sulah dalam telur dan kacau. Panaskan 2 sudu besar minyak dan masukkan telur. Dikacau rata rata seperti membuat telur scramble. Angkat dan ketepikan.


Menggunakan kuali yang sama masukkan baki 5 sudu besar minyak dan tumis bawang putih cincang sehingga naik bau.

Masukkan fish cake dan fish ball serta karot. Kacau rata. Masukkan sayur bok choi dan kicap cair. 


Masukkan air dan kiub pati ayam. Masukkan mee hoon dan kacau rata sehingga air menyerap pada mee hoon. Kacau rata. Taburkan sedikit serbuk lada sulah dan garam, jika perlu.


Setelah mee hoon nampak seperti terbit minyak, masukkan telur yang digoreng tadi. Kacau rata dan sedia untuk dihidangkan dengan sambal kicap atau dihidangkan dengan rendang.  

LihatTutupKomentar