Alhamdulillah. Bukan senang nak memecahkan rasa kemalasan dan hilang mood sebenarnya. Terutama setelah sekian lama berehat. Dari akhir tahun lepas lagi dek kerana kesibukan dengan buku resepi Azie Kitchen Hebat Di Dapur. Selepas itu, kami bercuti semasa cuti Hari Krismas ke Johor dan diikuti dengan bercuti ke Melaka dan menyambut hari pertama tahun baru 2021 di Melaka.
Kalaulah tidak kerana sokongan padu dari follower saya, pastinya saya juga akan mengikut jejak ramai blogger lain sebelum ini yang telah tidak lagi update blog mereka.
Saya tidak pasti apa alasan mereka tetapi yang nyata blog mereka pun seperti tiada lagi ditemui. Ada yang berbuat demikian kerana berubah arah dengan mengambil tempahan kuih muih di Instagram dan menjual resepi dengan mengadakan kelas PJJ.
Apa apa pun, semoga perkongsian resepi hari ini akan menjadi titik tolak untuk saya kembali bersemangat untuk update blog di sini. Jangan lupa klik follow kerana anda akan mendapat notifikasi apabila saya update entri baru di blog. Jangan lupa juga untuk klik iklan google di blog. Ramai yang takut untuk klik kerana mereka menyangka ianya adalah virus dan scammer.
Iklan google inilah yang memberi sedikit income untuk blogger. Walaupun lebih 10 tahun ber blog, saya baru sahaja meletakkan iklan google di blog saya dalam 2-3 tahun yang lalu.
Hari ini saya kongsikan resepi rendang kerang cili padi yang mudah disediakan tetapi rasanya sangat sedap. Kena lebihkan sedikit cili padi, barulah lebih sedap dengan rasanya yang pedas pedas.
Uniknya resepi hari ini kerana isi kerangnya direbus dalam tahun 2020 dan dimasak dalam tahun 2021. Hahahaha aduhai serious lawak yang tak lawak pun.
Rendang kerang cili api hari ini dimakan dengan pulut kuning. Sangat sedap gandingan kedua lauk dan masakan ini. Tapi kerana isi kerangnya sedikit sahaja, jadi saya tambah lah juga 3 biji telur rebus.
Jom layan resepi dan cara menyediakannya di bawah ini. Selamat mencuba...
Rendang Kerang Cili padi
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
250 isi kerang
1 biji kelapa - santan pekat segar
3 biji bawang merah - hiris
1 ulas bawang putih - hiris
1 helai daun kunyit
1 sudu besar kerisik
1 keping asam keping
½ sudu kecil garam
Bahan kisar:
¼ biji bawan besar
2 biji bawang merah
1 ulas bawang putih
15-20 biji cili padi
½ inci kunyit hidup
1 hirisan lengkuas
¼ inci halia
1 batang serai
Cara cara:
Kerang dibasuh bersih dan dimasukkan dalam kuali. Nyalakan api dan tutup dengan penutup. Tak perlu masukkan air. Masak sehingga ianya terbuka. Tutup api dan masukkan ke dalam bekas berisi air ais atau masukkan ketulan air batu.
Kopek isi kerang dan sedia untuk digunakan. Ini adalah rahsia untuk menjadikan isi kerang cantik dan tidak kecut. Jika belum mahu menggunakannya, boleh disimpan di dalam freezer.
Masak santan, bahan kisar, bahan hiris dan asam keping sehingga agak kering dan terbit minyak. Nota: boleh juga jika mahu ditumis terlebih dahulu bahan kisar, terutama jika kita menggunakan santan kotak.
Setelah kering, masukkan kerisik, isi kerang dan kacau rata. Akhir sekali, masukkan garam dan kacau sehingga terbit minyak dan kering yang disukai.
Masukkan daun kunyit dan kacau rata. Bolehlah tutup api.