Ayam Masak Merah Lauk Kenduri Batu Pahat



Sebelum kita bercerita bab ayam masak merah lauk kenduri Batu Pahat, jangan lupa picit iklan google yang keluar di blog. Hmm sejak pandemik Covid 19, rindu pula nak makan lauk kenduri. Lauk kenduri di kampung biasanya dimasak secara rewang atau bergotong royong. Cuma kebelakangan ini, di kampung mula menggunakan perkhidmatan catering. Mungkin kerana tiada generasi pelapis dan orang tua tua pun dah tak ada lagi. 

Seperti mana ramai yang follow saya tahu bahawa saya memang minat mengumpul resepi dari kecil. Tapi saya jarang ke dapur. Rumah saya tidak ada bahan bahan memasak yang canggih canggih. Hanya ada bahan basic kunyit, lengkuas halia yang ditanam sendiri sahaja. Nak buat kuih, kena kisar beras sendiri. Nak guna kelapa, kena kopek sendiri dan parut sendiri. 

Lagi pula, ibubapa saya tidak kisah dan tidak menekankan untuk kami anak anak perempuan mesti ke dapur. Mereka lebih menekan untuk kami mengaji solat dan belajar pandai pandai supaya menjadi orang senang di kemudian hari. Alhamdulillah saya telah memiliki kedua duanya, saya berjaya dalam pelajaran dan saya juga berjaya di dapur. 

Selepas kawin, saya bermula dengan kek dan biskut serta kuih muih. Kalau hampir raya, saya akan menyediakan pelbagai jenis cookies untuk hidangan raya. Tak pernah beli masa tu.  

Setelah anak anak besar dan suka makan, barulah saya memasak lauk pauk dan kuih muih moden dan tradisional. Saya lebih menyukai lauk pauk dan kuih muih tradisional yang memang proven dan tested sedap. Terutama resepi dari tukang masak dan resepi turun temurun. Kalau dapat resepi seperti ini, macam dapat satu bonus. Happy tak terkata.   

Saya tertarik untuk mencuba resepi ayam masak merah ini bila seorang follower menulis di ruangan komen di Instagram supaya saya mencuba resepi ayam masak merah lauk kenduri yang terkenal di Batu Pahat. 

Resepi ini diperolehi sendiri dari ketua tukang masak rewang untuk majlis kenduri. Seronok baca di blog beliau di SINI. Sebelum ini saya kongsi resepi ayam masak merah lauk kenduri dari seorang tukang masak tersohor di Kuala Kurau di SINI. Juga sangat sedap. 



Lauk ini memang sedap kerana terdapat rasa bawang goreng yang banyak. Jadi kalau anda mahu merasai bagaimana keenakan lauk kenduri ini, jom cuba sendiri di rumah. Nak tunggu majlis kenduri kawin lambat lagi kan.  

Jom layan resepi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba... 



Ayam Masak Merah Lauk Kenduri Batu Pahat

Bahan-Bahan:
1 ekor ayam - potong 12
½ cawan cili kering kisar - saya guna ½ cawan
2 biji bawang besar - hiris bulat
Rempah 4 sekawan - buah pelaga, kayu manis, bunga lawang
2-3 sudu besar gula pasir
1 sudu besar serbuk cili
5 sudu besar besar sos tomato
2 helai daun pandan
350 ml santan - atau susu cair
2 sudu besar oren sunquick - saya guna jus lemon
½ cawan bawang goreng
¾ cawan minyak masak
1- 1 ½ sudu besar garam

Bahan hiris:
10 biji bawang merah
10 ulas bawang putih 

Bahan kisar:
2 batang serai
1 biji buah tomato

Cara cara:
Ayam dilumur dengan garam dan serbuk kunyit. Perap selama 1 jam. Goreng ayam sekadar masak sahaja. Angkat dan ketepikan.



Menggunakan 3/4 cawan minyak gorengan ayam, goreng bawang hiris sehingga perang dan kelihatan rangup (seperti membuat bawang goreng).


Setelah itu, masukkan rempah 4 sekawan, daun pandan dan cili kisar. Tumis sehingga terbit minyak.


Masukkan bahan kisar. Tumis sehingga terbit minyak.

Masukkan gula, sos tomato, sunquick dan santan. Masak sehingga kuah agak pekat.

Setelah pekat, masukkan serbuk cili untuk menambah warna. Setelah cukup rasa masin, manis dan masam, barulah dimasukkan ayam goreng dan bawang goreng. Reneh sebentar.



Akhir sekali, masukkan bawang besar dan gaul rata sehingga bawang layu. Tutup api.

Nota:
Sedap dimakan bersama nasi minyak.

Jika suka, boleh masukkan kacang peas.

LihatTutupKomentar