Ayam Sambal Lauk Nasi Lemak Nostalgia Kolej Ketiga



Tertarik dengan satu hantaran sahabat saya di facebook berkenaan makanan sarapan orang Kelantan seperti nasi berlauk, nasi kerabu, nasi dagang, nasi kapit dsb. Memang kami orang Kelantan terutama yang dulu dulu, kami tak reti makan nasi lemak. 

Pernah sekali, semasa di bangku sekolah rendah, saya ke kedai untuk beli nasi berlauk tapi hari itu sepupu saya yang berniaga makanan sarapan pagi memberitahu yang hari tu dia menjual nasi lemak. 

Kali pertama mendengar, nasi lemak? Makan pula dengan lauk sambal ikan bilis? Aduh memang macam tak makan, pagi tu. Makan nasi lemak tak sama dengan makanan sarapan kami yang lain.  

Jadinya nasi lemak yang pertama tama saya makan selepas keluar dari kampung ialah nasi lemak Sahor di Kolej Ketiga Universiti Malaya. Apa apa pun yang pertama, kan best. Akan sentiasa diingat ingat. Lagi lagi pulak ianya di jual di musim peperiksaan sahaja. 

Ketika itu, sistem pengajian di Universiti Malaya masih menggunakan sistem penggal di mana peperiksaan diadakan sekali tahun sahaja. Haa kalau fail, memang kena repeat lagi setahun. Jadi memang stress sangat time tu. Kami study sampai ke pagi. Jadi bila rasa lapar, turun ke kantin Sahor untuk beli nasi lemak. 

Bila tamat pengajian, saya masih teringat ingat keenakan nasi lemak Sahor dan Hubby akan singgah beli. Tapi lepas tu, mereka tidak lagi berniaga kerana sambutan dah berkurangan. Student ramai yang dah ada kenderaan, mereka keluar cari makan. Berbeza dengan zaman kami, di mana kami makan di kampus kerana tidak ramai yang ada kenderaan.    

Secara jujur, sehingga kini saya masih merindui nasi lemak tersebut. Biasanya saya akan ambil lauk ayam sambal dan masak lemak perut lembut. Dua lauk ni mesti ambil. Saya ada request Sahor untuk memasak nasi lemak untuk kami tetapi mungkin dia pun dah tak cukup pekerja. Tapi Sahor bermurah hati untuk mengajar saya resepi kedua dua lauk kegemaran saya tersebut. 


Panjang lebar betul sejarah lauk ayam sambal hari ini. Hahaha kalau tak nak baca, boleh jer skip kan. Bila anda faham bagaimana sejarahnya lauk ini, pasti anda tahu betapa lauk ini adalah antara resepi kesayangan saya. 

Ramai jer orang buat Ayam Sambal tapi saya mahu resepi Ayam Sambal Sahor. Bukan resepi ayam sambal orang itu orang ini, datin itu datin ini. OK jelas kan? Tapi hari ini, saya tak goreng ayam sebaliknya guna air fryer. Hahaha kalau tanya saya, yang goreng dengan minyak lagi sedap. Entri versi ayam digoreng boleh klik di SINI

Jom layan resepi di bawah ini. Jangan lupa subscribe video di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba. 



Sambal Ayam Sahor

Bahan bahan:
1 ekor ayam 
4 sudu besar cili kering kisar
2 batang serai - ketuk
1 batang kayu manis
1-2 keping asam keping
¾ sudu besar garam halus - 1 ½ sudu kecil garam kasar
2 sudu besar gula 
1 ½ sudu besar gula perang
2 biji bawang besar Holland - hiris
1 cawan minyak masak

Bahan kisar:
1 biji bawang besar
8 biji bawang merah 
7 ulas bawang putih 
2 inci halia 

Cara cara:
Ayam dilumur garam dan serbuk kunyit. Goreng sehingga masak. Angkat dan ketepikan. Nota: boleh juga masak dengan menggunakan air fryer selama 20 minit. 

Panaskan minyak dan tumis bahan kisar, serai dan kayu manis sehingga naik bau dan terbit minyak. Masukkan cili kisar. Tumis dengan api perlahan sehingga cili benar benar masak dan terbit minyak. 




Masukkan gula dan kacau rata sehingga sambal bertukar warna gelap sedikit. 

Masukkan air dan masak sehingga terbit minyak sekali lagi. 

Masukkan ayam dan kacau rata sehingga sambal bersalut dengan ayam. Masukkan garam, gula dan asam keping secukup rasa. 



Biarkan sambal merenih atas dapur supaya semuanya sebati. Boleh masukkan air jika suka sambal sedikit berkuah. 

Akhir sekali masukkan bawang besar hiris. Kacau sehingga bawang layu. Bolehlah ditutup api.


LihatTutupKomentar