Selamat pagi semua. Selamat berhari minggu. Hari ini saya ingin kongsikan lauk kegemaran suami dan anak anak iaitu Sambal Tumis Udang Dengan Petai. Sebelum itu, jangan lupa untuk klik Follow My Blog dan juga klik iklan google yang keluar di blog.
Masa baru kawin dulu, baru saya tahu sambal tumis udang selain kari ikan adalah lauk kegemaran Hubby. Setiap kali balik kampung, saya melihat dia makan dengan menambah nambah kalau ada lauk lauk ini.
Secara jujur saya tak berapa pandai masak sambal tumis udang kerana arwah Bonda saya tidak pernah memasak lauk ini. Dengan kata lain, saya tak pernah makan sambal tumis udang. Tak kenal pun lauk ini ketika itu.
Jadi saya banyak menanya rakan rakan di pejabat bagaimana untuk memasaknya. Saya masih ingat rakan sekerja mengajar supaya menumis dengan api perlahan supaya sambal benar benar masak.
Ketika itu, saya rasa sangat beruntung mereka yang pandai memasak kerana kepandaian memasak diturunkan dari ibu kepada anak anak. Tidak seperti sekarang sesiapa sahaja boleh belajar memasak dengan dapur tidak lagi bersempadan.
Tapi saya beruntung juga kerana suami saya tak cerewet bab makan. Dia tak ada pun minta saya masak itu dan ini. Kalau saya tak masak, dia akan beli lauk di luar. Sebelum kawin pun, dia tak pernah bertanya kalau saya pandai memasak dan sebagainya. Malahan sehingga kini pun, dia bukan seorang yang demanding.
Kini anak kami Juita pula yang suka makan lauk sambal tumis udang. Bezanya Juita suka sambal tumis yang dimasukkan petai. Jadi bila memasak lauk ini, saya akan asingkan sedikit kerana Nana pula tak makan petai.
Saya masih suka dengan rasa sambal tumis cara tradisional di mana bahan yang digunakan hanya cili kering, bawang merah dan bawang putih. Manakala perasanya hanyalah garam dan gula serta asam.
Saya tak suka sambal yang dimasukkan pelbagai sos dan perasa. Ianya tidak lagi seperti sambal tumis dulu dulu tapi dah jadi seperti udang masak merah pula. Itu saya lah. Lain orang lain citarasanya kan. Jadi terpulang pada citarasa masing masing.
Bab petai dan udang digoreng itu adalah opsyenal. Boleh juga terus dimasukkan tapi saya sangat sensitif dengan rasa hanyir dan juga saya mahu mengurangkan sedikit bau mulut selepas makan petai.
Jom layan resepi yang saya gunakan dan cara penyediaannya. Jangan lupa video penyediaannya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba...
Sambal Tumis Udang Dengan Petai
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
300 gram udang
100 gram isi petai
3 sudu besar cili kering kisar
½ biji bawang besar
2 sudu besar gula
½ sudu besar garam
2 keping asam keping
1 cawan minyak masak
Bahan kisar:
5-6 biji bawang merah
3-4 ulas bawang putih
Cara cara:
Panaskan minyak minyak dan goreng petai seketika. Angkat dan ketepikan. Masukkan pula udang dan goreng seketika sekadar bertukar warna. Angkat dan ketepikan.
Dengan menggunakan minyak yang sama, tumis bahan kisar sehingga terbit minyak. Setelah itu, masukkan cili kering kisar. Tumis menggunakan api sederhana sehingga cili masak, garing dan terbit minyak. Cili garing apabila minyak kelihatan berbuih.
Setelah cili masak, masukkan gula dan kacau rata. Gula akan caramelised dan menjadikan warna sambal berwarna gelap. Masukkan sedikit air, garam dan asam keping. Tak perlu air, jika guna air asam jawa. Sesuaikan rasa masam masin dan manisnya.
Kemudian masukkan udang dan kacau rata. Masukkan pula petai dan kacau rata.
Akhir sekali, masukkan bawang besar hiris dan kacau sehingga bawang layu. Bolehlah ditutup api.
Nota;
Bila udang digoreng dahulu, kita dapat mengelakkan udang kecut kerana proses memasak yang lama. Dengan cara ini, sambal telah sedap dan terbit minyak cantik, baru masukkan udang seketika sahaja.
Minyak jika berlebihan boleh diceduk keluar ketika menghidang. Menumis perlukan minyak yang banyak supaya bahan yang ditumis masak sempurna.