Telah lama juga saya tidak menulis dan update blog. Mungkin ada yang tertanya tanya atau mungkin juga tidak. Tapi tak apa, biar saya sendiri yang update. Hahaha.
Sebenarnya saya sedang dalam menyiapkan projek buku kedua. Bila saya memasak adalah kerana saya memasak. Tapi bila saya buat buku, saya akan memasak khas untuk projek buku masakan. Sebabnya kerana saya sendiri suka buku masakan yang menpunyai gambar yang cantik. Buku masakan adalah harta dan warisan untuk seorang nenek kepada ibu dan seterusnya kepada anak dan cucu.
Saya boleh juga menggunakan gambar gambar yang saya masak setiap hari untuk buku kerana semua gambar diambil menggunakan kamera DSLR. Tapi saya tidak mahu begitu. Koleksi dan warisan mesti cantik. Saya sendiri menpunyai buku masakan yang telah tersimpan sejak saya di bangku sekolah lagi. Masa itu, saya tidak mampu untuk membeli buku masakan. Jadi jika buka masakan yang confirm jadi, bolehlah disimpan untuk warisan.
Menghadiahkan buku masakan juga adalah dikira berkongsi ilmu juga kepada anak cucu cicit kita di mana kita mengajar mereka dengan menunjukkan cara masakan. Jadi saya menyimpan berpuluh copy buku masakan pertama saya iaitu 101 Resepi Dari Azie Kitchen untuk diwariskan pada anak anak dan cucu saya kelak. Kepada yang masih belum memilikinya, boleh order di email yang terdapat di halaman utama blog ini sementara stock masih ada.
Belajar dari pengalaman sendiri, arwah Bonda saya memang hebat membuat kuih muih tapi tidak seorang pun anak yang belajar resepinya. Jadi kepandaian arwah Bonda hilang begitu sahaja. Sungguh sayang sekali.
Panjang pula coretannya, sekarang kita masuk bab resepi. Hari ini saya ingin kongsikan resepi membuat sos cili pencicah. Kita di Malaysia ni, makan apa pun mesti nak dicicah. Makan keropok, keropok lekor, cucur udang, cucur bawang dll, semuanya mesti nak dicicah.
Sos pencicah ini macam macam versi dan macam macam bahan berbeza yang digunakan. Tapi boleh jer kita mencuba pelbagai versi dan buat pilihan yang mana paling kita sukai.
Jom layan resepi mudah membuat sos cili yang saya pelajari dari kakak ipar saya sendiri. Jom layan.
Sos Pencicah
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
2 tangkai cili merah
2 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1 sudu besar sos cili
1 - 2 cawan air
½ -1 sudu kecil garam
2 ½ sudu besar cuka
2 ½ sudu besar gula pasir
Cara cara:
Kisar semua bahan kecuali sos cili. Masak semua bahan dengan api perlahan sehingga mendidih. Nota: Boleh lebihkan air supaya ianya dimasak lama lama sehingga hampir pekat.
Setelah pekat, boleh tutup api dan sejukkan sebelum dimasukkan dalam botol.