Rendang Daging Yang Sedap Dan Mudah Disediakan

Rendang Daging Yang Sedap Dan Mudah Disediakan

Betul lah yang dikatakan ramai blogger, bila lama berehat, blog mulai bersarang dan mood mulai ke laut. Saya sebenarnya bukan berehat rehat atau bermalas malas pun tapi saya agak sibuk dengan projek penerbitan buku kedua saya yang masih dalam pembikinan. 

Rendang Daging Yang Sedap Dan Mudah Disediakan

Resepi yang terdapat dalam buku ini adalah resepi pilihan saya sendiri. Resepi yang akan melahirkan generasi hebat. Untuk mengetahuinya, anda kenalah bersabar dan menunggu. Ianya dijangka siap pada awal tahun hadapan. 

Saya memang amat mementingkan kualiti dalam apa jua yang saya hasilkan. Saya tidak suka mengambil jalan pintas semata mata untuk cepat, jimat dan sebagainya. Jadi masa untuk disiapkan agak lama. Buku masakan adalah karya yang lahir dari hati. Ianya akan kekal sebagai warisan dari saya, dari anda semua yang membelinya.

Kepada yang belum memilikinya, saya sangat mengesyorkan anda memilikinya sebelum kehabisan stock. Cetakan kedua telah pun siap dan jumlahnya adalah terhad. Jadi dapatkan buku 101 Resepi Dari Azie Kitchen yang harganya sangat berbaloi baloi. Bayangkan untuk resepi PJJ, anda perlu membayar RM30-RM50 untuk satu resepi. Tapi buku ini untuk 101 resepi. 

Bercakap berkenaan buku resepi, bukan saya yang menulisnya sahaja akan mendapat pahala tapi anda yang memiliki dan mewarisinya kepada anak anak dan cucu cucu juga akan mendapat ganjaran pahala. Insya Allah Aamenn.

Pagi ini saya membaca satu buku resepi lama yang ditulis dengan mesin taip dengan tulisan Bahasa Melayu lama, sukatan masih menggunakan kati dan tahil. Buku ini dipinjamkan oleh besan saya, Puan Naimah yang merupakan bekas seorang pensyarah di UPM. Penulis meninggal dunia pada tahun 1959. Bayangkan, ketika itu saya belum pun dilahirkan tapi saya juga merujuk kepada resepi arwah, tips tips yang diberi. Semoga roh arwah dicucuri rahmat dan diberikan pahala perkongsian ilmu. OK sekarang kita masuk pula bab resepi.

Entah kenapa tiba tiba terasa hendak makan pulut kuning dan rendang daging yang disediakan sendiri. Puashati bila dapat menikmati apa yang disediakan sendiri. Saya pernah beli pulut kuning terkenal yang dijual tapi pada saya ianya biasa biasa sahaja. 

Rendang Daging Yang Sedap Dan Mudah Disediakan

Rendangnya pun tidak sesedap mana. Tapi harga yang harus dibayar sangat mahal untuk pulut kuning seperti itu. Tapi saya tidak akan sesekali menaburkan pasir dalam periuk nasi orang. Jadi saya tidak akan menyebut nama penjualnya. Lagi pula citarasa dan tekak masing masing berbeza. Mungkin tidak sedap pada saya tapi sedap pada orang lain.  

Saya menyediakan 2 kilo daging untuk rendang hari ini. Ya lah memasak rendang ni agak lama juga untuk menunggu sehingga ianya kering. Jadi memasak satu kilo atau 2 kilo, sama sahaja masa memasaknya. Kalau mahu lagi sedap, kerisik hendaklah disediakan sendiri. Jangan beli di kedai kerana kalau lama, ianya akan berbau "tengit" sedikit.

Apa apa pun saya sangat berpuashati kerana dapat makan rendang yang sedap dan kena dengan selera saya. Rendang hari ini sebenarnya simple sahaja. Tiada penggunaan rempah rempah pun. Hanya rendang biasa yang menggunakan bahan yang basic yang ada di rumah kita sahaja.  

Jom layan resepi yang saya gunakan hari ini. Video penyediaannya ada di Azie Kitchen Youtube Channel, boleh klik di SINI. Saya makan dengan pulut kuning yang juga sangat sedap. Nantikan entri akan datang untuk pulut kuning. 


Rendang Daging Yang Sedap Dan Mudah Disediakan

Rendang Daging Sedap dan Mudah

Bahan bahan:
2 kg daging pejal
1 kg santan segar pekat
6 batang serai - ketuk
5 sudu besar cili kisar
5 sudu besar kerisik
1 helai daun kunyit - hiris halus
2-3 keping asam keping
2 sudu besar garam 
2 sudu besar gula
70 gram gula Melaka 
½ cawan minyak masak 

Bahan kisar:
4 biji bawang besar  
4 biji bawang merah
12 ulas bawang putih 
3 inci kunyit hidup
2 inci halia 
2 inci lengkuas
6 batang serai - tak letak
15 tangkai cili padi

Cara cara:
Daging dihiris melawan urat. Panaskan minyak masak dan tumis bahan kisar dan cili kisar dan serai sehingga naik bau. 

Rendang Daging Yang Sedap Dan Mudah Disediakan

Masukkan daging dan masak atas api perlahan sehingga air daging kering. Nota: boleh masak dalam periuk tekanan selama 20  minit. 

Rendang Daging Yang Sedap Dan Mudah Disediakan

Masukkan santan, asam keping, garam dan gula. Bila hampir kering, masukkan kerisik. 

Setelah rendang kering yang disukai, masukkan daun kunyit yang telah dihiris halus. Kacau rata dan tutup api. 

Rendang Daging Yang Sedap Dan Mudah Disediakan


LihatTutupKomentar