Sebelum kita citer bab resepi, jom kita sembang jap. Ramai yang menulis komen di Instagram @aziekitchen atau di facebook Azie Kitchen Blogger memberitahu mereka tak pernah melihat wajah saya di blog.
Hmm itu yang saya hairan juga kerana di blog saya banyak gambar gambar percutian saya di dalam dan luar negara, selain bab pembinaan rumah kami, Villa Nur Qaseh. Boleh google JJCM Azie Kitchen atau percutian Azie Kitchen.
Saya kongsikan dengan Juita tentang komen komen ini. Kata Juita, mesti mereka google dan taip resepi yang mereka ingin cari sahaja. Mereka tidak masuk ke blog Azie Kitchen (https: aziekitchen.com).
Hmm betul juga sebab setiap kali saya publish entri baru, tidak ramai yang membacanya walaupun jumlah page view blog saya hampir 100 ribu setiap hari. Boleh bagi cadangan bagaimana yang harus saya buat untuk anda follow blog saya. Saya update resepi beberapa hari dalam seminggu. OK cukup setakat ini dahulu.
Over tak tajuk entri kali ini? Jangan salah faham, bila saya katakan mee goreng paling sedap. Sebabnya kerana setakat ini saya memang tak jumpa lagi mee goreng yang kena dengan selera saya. Sangat susah untuk menemuinya di kedai kedai makan, di restoran, hatta hotel sekali pun. Melainkan mee yang saya goreng sendiri di rumah.
Saya tidak pasti sedap atau tidak pada orang lain tapi pada saya, ianya adalah mee goreng yang saya boleh makan sehingga 3 pinggan penuh. Haa sekali lagi saya tulis mee yang paling sedap pada selera saya. Nantikan ada pula yang yang kata puji diri sendiri. Ya lah selera kan lain lain, tekak lain lain.
Tapi secara jujur ada juga masa mee saya goreng tak menjadi terutama bila air yang dimasukkan terlebih. Akhirnya mee menjadi terlebih kembang.
Hari ini saya menyediakan 2 pek mee kuning untuk sarapan pagi. Kalau nak lagi sedap, masak 1 pek sekali masak, lagi sedap. Senang nak uruskan kuali. Macam juga kalau makan di kedai, biasanya mereka akan goreng satu atau dua pinggan sahaja sekali masak. Hahahaha. Tapi Hubby kata 1 pek tak cukup untuk kami 5 orang.
Untuk memudahkan anak anak saya dan follower yang baru berjinak jinak untuk belajar mee goreng cara saya dan sukatan bahan seperti saya, jadi saya menyukat bahan yang digunakan.
Kalau semua orang memasak secara campak campak, macam mana anak anak yang tak tengok sendiri kita memasak untuk tahu sukatan dan memasaknya. Betul tak?
Kalau makan mee goreng, antara yang wajib ada dalam pinggan saya ialah hirisan limau nipis. Limau nipis sahaja, tak mahu limau kasturi tu. Terasa sangat sedap di lidah saya. Mungkin sebab dari kecil kalau makan mee goreng di Kelantan, mesti ada hirisan limau nipis.
Jom layan resepi di bawah ini. Sebelum itu, jangan lupa untuk klik iklan yang keluar di blog. Ianya adalah iklan yang selamat. Jangan risau. Saya ada sediakan video penyediaannya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba....
Mee Goreng Azie Kitchen
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
2 pek/900 gram mee kuning
Udang secukupnya
1 ½ - 2 sudu besar cili kering kisar
3 sudu besar sos cili
2 sudu besar sos tiram
2 keping tauhu goreng - opsyenal
1 ikat sayur sawi
3 biji telur
6-7 sudu besar kicap manis
11 sudu besar minyak masak
½ sudu kecil garam
Bahan tumbuk:
4-5 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
Cara cara;
Lalukan mee di bawah air sekadar untuk membuang rasa kapur. Tos.
Panaskan minyak dan tumis bahan tumbuk sehingga naik bau. Masukkan cili kisar dan tumis sehingga cili masak dan garing.
Masukkan udang dan sedikit air. Masukkan pula sos cili, sos tiram dan kicap. Kacau rata.
Masukkan batang sawi dan kacau sehingga separuh lembut. Masukkan mee kuning, tauhu goreng dan kacau rata. Nota: ketika ini kena agak masukkan air sedikit demi sedikit untuk memastikan mee secukup lembutnya. Jika kurang, mee akan keras, tak sedap.
Pecahkan telur dan bila telur separuh masak, digaul rata dengan mee.
Akhir sekali masukkan garam dan daun sawi. Jika suka, boleh masukkan cili padi. Kacau sehingga sawi lembut dan bolehlah ditutup api.
Masa dihidangkan, boleh tabur bawang goreng dan perah asam limau nipis.