Ayam Masak Merah Kenduri Kawin Kuala Kurau


Hari ini cuti sempena perayaan Tahun Baru Cina. Kepada yang tak ke mana mana kerana kita masih berada dalam PKP, meh baca blog saya sampai habis. Sebelum kita mulakan, sudi kiranya anda semua picit iklan yang ada dalam blog saya ini. Income blogger termasuk saya ialah dari iklan adsense. 

Itu yang saya sedih bila membaca mesej yang dihantar seseorang pada saya. Katanya dia rasa sedih bila melihat banyak iklan di blog menyebabkan dia lebih suka mendapatkan resepi di instagram. Kesimpulan saya, dia hanya mahu benda yang mudah tanpa memikir kepayahan orang lain. 

Dunia tanpa sempadan, dapatkan lah resepi dari mana sekali pun. Tak kisah tapi hargai mereka yang mendapatkannya. Saya dulu memang tidak mendapat resepi mudah seperti sekarang. Terpaksa meminta minta. Itu sebab saya sangat sayang setiap resepi yang saya perolehi.

Hari ini bagai pucuk dicita ulam mendatang bila seorang follower saya Zueomar telah berkongsi resepi ayam masak merah yang sangat sedap dan terkenal di Kuala Kurau Perak. Resepi dari arwah ayah beliau yang merupakan tukang masak tersohor untuk majlis kenduri kawin di kampung beliau.

Alhamdulillah kerana resepi begini yang saya sukai. Resepi tradisional, resepi lama dan resepi dari tukang tukang masak kampung. Semoga roh arwah dicucuri rahmat dan diberikan ganjaran pahala dari perkongsian ini. Nak tengok Ayam Masak Merah lauk kenduri dari tukang masak tersohor Batu Pahat, boleh klik di SINI
 

Menurut Zue, resepi ini lebih sedap jika menggunakan ayam kampung. Ayam pula dipotong 4 supaya hidangan kenduri dimakan beramai ramai. Selain itu, boleh juga menggunakan daging masak merah yang dipanggil Ampal dalam bahasa Banjar. Daging juga dipotong dalam saiz yang besar. 

Kalau ada yang belum pernah mencuba resepi ini atau keenakannya, boleh lah mencuba resepi yang saya kongsikan di bawah ini. Video juga saya share di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI

Sesiapa yang belum follow blog saya, bolehlah klik butang follow supaya anda akan mendapat notifikasi setiap kali ada blog update. Selamat mencuba....


Ayam Masak Merah Kenduri Kawin

Bahan bahan:
1 ekor ayam - potong 8
100 gram tomato puree
Rempah 4 sekawan
Garam
1 cawan minyak masak + 1 sudu besar minyak sapi

Bahan kisar :
2-3 biji bawang besar
6 ulas bawang putih
1 inci halia
100 gram cili merah
2 sudu besar cili kering
5-6 biji badam
1 sudu besar serbuk jintan manis
1 sudu besar serbuk jintan putih
Garam secukupnya
1 sudu kecil gula - saya tambah

Bahan lain:
½ tin susu cair
½ tin kecil kacang peas
1 biji bawang besar - hiris 

Lumur ayam dengan garam kunyit dan digoreng ¾ masak.


Panaskan 1 cawan minyak dan 1 sudu besar minyak sapi. Satukan bahan kisar dengan tomato puree dan gaul rata. 

Tumis rempah 4 sekawan dan bahan yang disatukan sehingga terbit minyak.


Setelah terbit minyak, masukkan ayam goreng, susu cair, garam dan serbuk perasa. Akhir sekali, taburkan kacang peas dan bawang besar hiris. Kacau sehingga bawang layu, bolehlah ditutup api.




Nota:
Sedap guna ayam kampung yang dipotong 4.

Tomato puree boleh juga digantikan dengan tomato ketchup.

Resepi ni boleh juga guna untuk daging. Daging pun dipotong besar jugak. Agak agak seketul satu piring. Yang daging masak merah disebut 'ampal' dalam bahasa Banjar. Menu kenduri juga.

LihatTutupKomentar