Masak Lemak Ikan Kurau Kering Dengan Pucuk Ubi


Saya ada beberapa batang pokok ubi kayu di belakang rumah, memang menghasilkan banyak pucuk ubi. Setiap kali nampak banyak pucuk ubi, saya akan menyediakan lauk yang berasaskan pucuk ubi.

Isi ikan kurau kering ini dah lama dalam peti ais. Saya beli masa pergi ke pasar basah di Kuala Selangor. Mahal betul ikan kurau kering sekarang. Ye lah zaman sekarang serba serbi mahal. Kadang terfikir bagaimana struggle nya untuk orang yang berpendapatan rendah mencari wang untuk menampung kehidupan.

Teringat Juita cerita bila hari dia naik grab untuk balik ke rumah. Kereta yang dinaiki menpunyai masalah aircond yang tak berapa sejuk. Jadi memang agak kepanasan. Kata Juita, kesian dia ma, terpaksa mencari rezeki dengan kereta rosak dalam keadaan panas. Juita bagi duit tips yang lebih pada pemandu grab tersebut.   

Saya sendiri juga mulakan kehidupan dari bawah di sini. Semua dalam kepayahan. Dengan gaji yang sedikit untuk membayar rumah, kereta dan persekolahan anak anak. Makan di luar pun ketika itu, kena kira kira dulu. Ada ketika kena pinjam duit mak ayah juga di kampung. Hahaha 

Bila sekarang telah merasa sedikit senang, baru lah kami mampu membeli itu ini untuk anak anak supaya mereka gembira. Sejak PKP tahun lepas saya banyak beli handbag untuk anak anak kerana harga lagi naik setiap tahun. 

Saya beli jenis klassik supaya design kekal lama. Kalau boleh sampai bila bila tetap in fashion. Kalau mereka bergaji besar baru nak beli sendiri, harga mungkin dah terlalu tinggi. Jadi saya bantu mereka untuk membelinya sekarang. 


Berbalik pada resepi masak lemak ikan kurau kering dengan pucuk ubi hari ini, memang serious sedap. Bila dah berumur selera kita lebih kepada sayuran dan ulam ulaman. Tak pasti dengan orang lain, tapi saya memang suka makan lauk yang berasaskan sayuran.

Untuk masak lemak hari ini, juga sedap jika menggunakan nangka muda dan ikan kurau bahagian tulang tulang sedikit. Nangka muda pun antara makanan kegemaran saya juga. Cuma bila makan nangka, kena hati hati dengan angin dalam badan.

Jom kita layan resepi yang saya gunakan di bawah ini. Selamat mencuba.... 



Masak Lemak Ikan Kurau Kering Dengan Pucuk Ubi

Bahan bahan:
1 cekak pucuk ubi - direbus sehingga lembut
Ikan kering kurau
¼ kilo santan segar
Garam

Bahan kisar:
5 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup
½ inci halia
Sedikit biji ketumbar

Cara cara:
Masak bahan kisar sehingga agak agak masak dan masukkan pucuk ubi yang telah direbus dan ikan dengan air secukupnya sehingga mendidih.

Masukkan santan dan masak lagi sehingga mendidih. Masukkan garam secukupnya. Bolehlah ditutup api. 


LihatTutupKomentar