Gulai Udang Nasi Dagang



Sementara masih di bulan Ramadhan, saya bertanya seorang sahabat, semasa sujud, doa apa yang paling afdhal untuk didoakan. Dulu kami selalu menghadiri kuliah zohor sama sama semasa masih bekerja. Lalu sahabat saya menghantar doa yang Nabi Muhammad SAW ajar pada isteri baginda, Aaisyah iaitu "Allahumma innaka afuwwun tuhibbul 'afwa fa'fu anna".

Seorang sahabat bertanya Nabi apa doa paling afdhal. Nabi ajar supaya meminta keampunan dosa dan selamat dunia dan akhirat. Bila Allah ampun dosa kita, kita selamat. Yang Nabi ajar, inilah yang paling baik.


Sebab dosa kita banyak dengan ibubapa, suami isteri anak anak jiran teman sahabat. Dosa dengan Allah dari akil baligh sampai sekarang, pasti tak tercatat. Berapa banyak dosa dengan ibubapa yang kita telah buat mereka berkecil hati.

Belum lagi dosa peribadi seperti sombong, riak, hasad dengki yang kadang kadang di luar kawalan kerana syaitan berjalan mengikut darah manusia. Bukan kita plan nak sombong tapi secara tak sedar dah bertelingkah laku yang orang kata kita sombong. Kalau dosa tak diampun yang pelbagai, bagaimana nak dapat selamat dunia akhirat.

Bagaimana saat hadapi sakaratul maut. Kita tak tahu andai Ramadhan ini adalah yang terakhir. Bagaimana kita menghadapi sakaratul maut jika dosa belum diampun. Cemas dan takut hadapi saat sakaratul maut. Sesunguhnya maut itu ada sakarat. Sakarat maksudnya mabuk atau dasyat. Iaitu dalam keadaan fikiran tak fokus, hadapi ketakutan cemas, keliru dicampur pulak dengan bayangan dosa silam.

Kata baginda Nabi Muhammad SAW, tiada sakit seumpama mati. Belum lagi cerita nak ke kubur. Waktu diusung, jika orang baik akan minta dipercepat kerana nampak kubur sebagai bayangan syurga. Tapi orang jahat akan bertanya kau nak bawa saya ke mana ni? Si mati dah tahu kubur nak jadi lubang dari satu lubang api neraka.

Semua ini menyangkut berkenaan dosa. Soalan mungkar Nakir kita tak dapat jawab. Semua sebab dosa yang banyak. Jika dosa tak settle, kubur kita penuh dengan ular yang sekali dipatuk azab bertahun lama nya. Kubur menghimpit badan jika dosa yang dibawa banyak.



Sekarang kita masuk pula bab resipi. Ini adalah antara cara saya menyediakan gulai udang. Biasanya dimasak sebagai lauk nasi dagang. Sangat sedap dengan kuahnya yang pekat pekat lemak.

Kalau di Kelantan, nasi dagang selain dimakan dengan gulai ikan tongkol, juga dihidangkan dengan gulai udang. Selain itu, hirisan timun, telur rebus serta sambal kelapa. Ianya berbeza dengan nasi dagang Terengganu yang ada gulai ikan tongkol dan acar timun sahaja.

Kalau anda belum pernah merasainya, apa kata Ramadhan ini sediakan gulai udang mengikut resepi yang saya kongsikan ini. Pasti sedap. Cuma pastikan udang jangan dimasak terlalu lama, nanti kulit akan kecut dan isi juga keras. Nak lagi cantik, masukkan banyak banyak cili padi merah dan hijau. Saya tidak ada stock cili, jadi guna apa yang ada sahaja.




Gulai Udang Nasi Dagang

Bahan-bahan:
½ kg udang
½ kg santan segar
1 sudu kecil halba campur
½ sudu besar rempah kari ikan
1-2 keping asam keping
½ keping gula Melaka - 40 gram
1 kiub pati ayam Knorr
½ sudu besar garam
400 ml air
½ cawan minyak masak

Bahan kisar:
3 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
½ inci kunyit hidup
2 sudu besar cili kisar
½ inci halia
½ inci lengkuas

Cara-cara:
Panaskan minyak dan tumis halba campur seketika sebelum dimasukkan bahan kisar.

Tumis sehingga terbit minyak dan masukkan rempah kari. Kacau lagi hingga terbit minyak.

Tuangkan air secukupnya kemudian masukkan santan. Kacau rata sehingga kuah mendidih supaya santan tidak berketuk.

Masukkan asam keping, gula Melaka dan kiub pati ayam Knorr.

Masak kuah hingga menjadi sedikit pekat dan terbit minyak. Jika belum terbit minyak, masukkan air sedikit demi sedikit.

Masukkan udang dan kacau sehingga kuah terbit minyak.

Sesuaikan rasa masin dan manisnya. Masak udang sehingga masak sahaja kerana kulit udang akan jadi kecut.

Nota:
Kuah yang cantik adalah kuah yang pekat dan terbit minyak. Jika belum terbit minyak, boleh tambah air dan masak lagi.




LihatTutupKomentar