Alhamdulillah kita telah menghampiri separuh bulan Ramadhan. Saya baru sahaja selesai menjalani penggambaran facebook live Petronas Brands bersama Chef Sherson Lian. Apa yang saya tertarik ialah bila Chef menanyakan bagaimana badan kita menyesuaikan diri dengan berpuasa. Bagus sekali pertanyaan tersebut.
Sebetulnya berpuasa memberi lebih kebaikan pada tubuh badan kita. Maklumlah kita makan selama 11 bulan dalam satu tahun. Jadi di bulan Ramadhan kita mengubah sedikit cara pemakanan kita. Kita menggantikan sarapan pagi dengan makan sahur. Malahan kita disunatkan untuk melewatkan waktu sahur.
Bila berbuka juga, kita disunatkan untuk mula berbuka dengan mengambil 1 atau 3 biji buah tamar. Buah tamar akan memberikan tenaga segera pada badan kita. Selepas itu, kita melakukan solat Maghrib. Selepas solat, barulah kita mengambil makanan yang lain.
Jika kita ikut cara cara ini, badan kita akan mampu untuk membuat perubahan dengan baik. Sebelah malam, kita perbanyakkan minum air bagi memastikan badan kita menpunyai cukup cairan.
Puasa tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk letih dan bermalas malas. Puasa memberikan masa untuk badan kita berehat dan menjalani proses cleansing. Kita tidur lebih awal bagi memastikan kita mampu bangun untuk menunaikan solat malam.
Hari ini saya ingin kongsikan resipi membuat steak dan sos cendawan. Daging steak boleh beli jer di mana mana supermarket. Terdapat pelbagai jenis dan harga. Kalau ikut cara mat salleh, mereka hanya marinade daging dengan minyak zaitun, garam dan sedikit lada hitam.
Tapi kita ikutlah selera kita. Tambahkan Knorr Pasti sedap yang mengandungi 2 kali lebih rasa dan aroma bawang putih sebenar. Jika suka, boleh juga masukkan paprika. Pendek kata, ikut citarasa masing masing.
Yang penting sos mesti sedap. Anak saya memuji muji sos cendawan saya hari ini yang sedap dan cukup lemak dan perisa cendawannya. Saya menggunakan cendawan butang warna perang dan warna putih. Tengok pinggan anak saya di dalam gambar di bawah, banyak dicurahkan sos cendawan.
Kalau beli di kedai memang tak dapat makan sos mewah macam ini. Kalau tambah sos, kena bayar pula. Jadi apa kata, anda sediakan sendiri sos cendawan dan steak. Pasti puas hati dengan rasanya dan dapat berjimat.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Boleh juga tonton video penyediaannya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba...
Steak dan Sos Cendawan
Oleh: Azie Kitchen
Bahan Steak:
3-4 keping rib eyes sirloin steak
Minyak zaitun
Serbuk Knorr Pasti Sedap
Serbuk lada hitam
Serbuk lada hitam
Mentega bawang putih - opsyenal
Bahan Sos:
3 sudu besar minyak zaitun extra virgin
2 sudu besar kicap manis
2 sudu besar sos Lea & Perrins
80 gram mentega
300 gram cendawan butang perang & putih
3 ulas bawang putih - cincang
30 gram tepung gandum
1 kiub pati ayam
¼ sudu kecil thyme kering
½ sudu kecil parsley kering
1 sudu kecil lada hitam
Cara cara:
Biarkan daging steak berada dalam suhu bilik selama sekurang kurangnya 30 minit.
Tuang minyak zaitun di kedua dua permukaan daging dan lumur rata.
Tabur Knorr Pasti Sedap dan sedikit serbuk lada hitam di kedua dua belah permukaan daging.
Panaskan cast-iron skillet. Setelah benar benar panas dan berasap, masukkan daging steak ke dalam kuali.
Masak selama 3-4 minit di setiap permukaan atau sehingga keperangan mengikut ketebalan daging.
Jika suka, letakkan mentega yang digaul dengan bawang putih cincang di atas steak. Biarkan seketika dan bolehlah diangkat.
Cara cara membuat sos:
Hiris cendawan menjadi kepingan-kepingan yang kecil supaya cepat masak.
Cairkan 30 gram mentega dan masukkan tepung gandum. Kacau sehingga berwarna kuning pucat. Ini akan menjadi pemekat sos yang dipanggil roux dalam bahasa Perancis disebut rux). Ketepikan dan biarkan sejuk.
Panaskan minyak zaitun dalam periuk dan masukkan cendawan potong. Selepas beberapa minit, air akan mula keluar dari cendawan. Bila 90% air telah keluar masukkan 50g mentega dan bawang putih cincang.
Baki air akan keluar dan cendawan akan mula menggoreng di dalam mentega. Rahsia sos cendawan yang baik ialah cendawan perlu dimasak sehingga garing untuk memastikan perisa cendawan yang kuat dalam sos.
Sementara menunggu cendawan masak, larutkan kiub pati ayam dalam 250 ml atau 1 cawan air.
Bila cendawan sudah berwarna perang dan berbau harum, masukkan air pati ayam.
Masukkan 750 ml atau 3 cawan air dan kuatkan api sehingga mendidih dan renihkan selama 15 minit.
Masukkan kicap manis dan sos Lea & Perrins. Untuk pekatkan sos, masukkan pemekat sos atau roux sedikit demi sedikit sehingga sos menjadi pekat. Jangan berhenti mengacau supaya sos tidak berketul. Bila sos sudah cukup pekat jangan tambah lagi pemekat.
Tambah lada hitam, thyme kering dan parsley kering. Kacau rata. Sos cedawan siap untuk dihidangkan.
Nota:
Cendawan perlu dimasak sehingga kering dan digoreng sehingga berwarna perang agar rasa mentah cendawan hilang sepenuhnya.