Rendang Tok Sedap



Setiap kali menjelang raya, kami akan singgah di Batu Gajah untuk membeli rendang tok yang dijual di Bazar Ramadhan dalam perjalanan balik ke kampung suami di Parit Perak. Memang sedap kerana rendang tok memang berasal dari negeri Perak.

Saya belajar memasak rendang tok dari arwah Bonda Mertua. Beberapa kali juga memasak sama sama dengan arwah sehingga saya dah boleh menghafal bahan bahannya. Balik Kelantan pun saya menyediakan rendang tok menggunakan daging Korban. 

Saya mengajar bekas pembantu rumah saya, Sri Handayani dan beliau juga boleh memasak dengan sedap. Seperti biasalah bila pembantu rumah dah pandai, semua bahan disediakan beliau. Jadi lama lama kelamaan saya menjadi lupa sukatan bahan bahannya. Walaupun saya ingat semua bahan bahan yang digunakan. 


Resipi bonda mertua lagi mudah, campakkan semua bahan ke dalam kuali bersama daging, tak perap. Kemudian masak sehingga air daging keluar dan kering, baru dimasukkan santan. Kacaulah sehingga kuah kering yang disukai. 

Itu semua tinggal kenangan, saya kini merujuk kepada kakak ipar untuk memasak rendang tok kerana beliau juga orang Perak. Sayang sebenarnya kerana resipi tradisionak macam ni, jika tak disimpan betul betul, akan hilang meriahnya. 

Bila Bonda Mertua meninggal, kami pun dah tak balik kampung lagi. Sekarang beraya hanya di rumah sendiri. Kerana kami menpunyai anak anak yang telah berkahwin yang juga bergilir beraya di rumah mertua mereka pula. 

Saya beruntung kerana berbesan dengan orang orang di sekitar lembah Klang sahaja. Sebelah tengahari baru bertolak untuk beraya rumah kawan kawan atau saudara mara. 


Haa itulah sedikit sebanyak kisah bagaimana saya belajar menyediakan rendang tok kerana saya orang Kelantan. Bukan orang Perak. Tapi minat saya untuk belajar resipi masakan tradisional sangat tinggi. Bukanlah sangat kerana nak makan, kalau sekadar nak makan beli sekilo pun dah cukup. 

Jadi kalau nak cuba masak rendang tok, boleh guna resipi di bawah ini. Lebih lebih lagi orang Perak, kenalah pandai dengan resipi tradisi negeri mereka. Tak boleh nak harapkan orang tua tua lagi. Saya dulu mesti nak belajar, soal masak atau tidak, itu belakang kira. Yang penting resipi ada kat tangan. Jadi kalau nak belajar, boleh beli buku resipi Azie Kitchen, Hebat Di Dapur. Ada resipi rendang tok di dalamnya.

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa menonton video di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba....



Rendang Tok 
Oleh: Azie Kitchen 

Bahan A:
1 kilo daging - potong kiub saiz sederhana
4-5 sudu besar cili kering kisar - ikut pedas disukai
3 kuntum bunga lawang, 1 batang kulit kayu manis, 3 inci biji buah pelaga
5 biji bawang merah - hiris
3 ulas bawang putih - hiris

Bahan B kisar halus:
5 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1 inci lengkuas
5 batang serai

Bahan C:
1 sudu besar jintan kasar/jintan manis
1 sudu besar jintan halus/jintan putih
1 sudu besar biji ketumbar

Bahan D
3 sudu besar kerisik
1 keping gula melaka - 90 gram
½ helai daun kunyit - hiris
1 kg santan segar pekat
1 keping asam keping
Sedikit belacan- opsyenal
Sedikit gula
½ sudu besar Knorr Pasti Sedap

Cara cara:
Bahan C digoreng tanpa minyak dan tumbuk halus.


Satukan bahan A, B dan C ke dalam periuk. Gaul dan perap dengan daging selama 4 jam. Nota: lebih sedap jika diperap semalaman.


Masak atas api perlahan sehingga air kering. Kemudian, masukkan santan. 

Kacau atas api perlahan selama 3-4 jam. Masukkan kerisik, gula melaka dan sedikit garam.

Kacau sehingga daging mula empuk dan berwarna agak hitam dan kering dan supaya tidak hangit.

Akhir sekali masukkan asam keping dan daun kunyit. Tambah garam, jika perlu Kacau rata. Sesuaikan rasa dan bolehlah diangkat.


Nota:
Rendang ini lebih sedap dan mesra selepas sehari dimasak.




LihatTutupKomentar